Ruslan bekas pekerja kilang, bukan pesara ATM – JHEV ATM

0
2
JHEV ATM

JABATAN Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) menafikan laporan portal ‘online’ mengenai pesara askar wataniah yang kini hidup sebagai gelandangan di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan hari ini, JHEV ATM berkata, Kementerian Pertahanan mendapati laporan berkenaan adalah tidak benar malah memberi gambaran yang salah kepada pembaca.

Sebaliknya, JHEV ATM menyifatkan ia memberi gambaran yang negatif kepada Kementerian Pertahanan amnya dan secara khusus kepada jabatan itu.

“Encik Ruslan (bukan nama sebenar) digambarkan sebagai seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang meneruskan kehidupan sebagai gelandangan di Kuala Lumpur setelah menamatkan perkhidmatan dalam ATM.

“Semakan JHEV ATM mendapati individu yang dirujuk dalam laporan tersebut pernah memasuki latihan asas rekrut pada tahun 1994 selama tiga bulan sahaja.

“Beliau tidak meneruskan latihan kerana menghadapi masalah kesihatan. Sebaik ditamatkan latihan asas rekrut, individu berkenaan telah berkerja di sektor perkilangan,” menurut kenyataan itu.

JHEV ATM berkata, disebabkan minat dengan perkhidmatan ATM, lelaki itu telah menyertai Askar Wataniah dan pernah bertugas di Markas Rejimen 503 (AW) di Ipoh, Perak dan di Batalion Ke-2 Rejimen 503 (AW) di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.

“Berdasarkan Akta Veteran 2012, hanya anggota angkatan sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM layak diiktiraf sebagai veteran ATM.

“Dalam hal ini, penglibatan individu tersebut dalam Askar Wataniah hanyalah sebagai sukarela sahaja dan tidak pernah dikerah sepenuh masa,” katanya.

Menurut JHEV ATM, individu berkenaan telah menerima pencen ilat daripada Pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Bagaimanapun, disebabkan masalah kesihatannya, individu berkenaan telah diberhentikan kerja dan diberikan pencen ilat oleh PERKESO.

“Untuk pemakluman, perkhidmatan Askar Wataniah meliputi skim Pegawai dan Anggota Sukarela, skim Pegawai dan Anggota Yang Dipertugaskan Sepenuh Masa serta Tauliah Kehormat.

“Hanya pegawai atau anggota yang dipertugaskan sepenuh masa sahaja akan diiktiraf sebagai Veteran ATM setelah menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Justeru, JHEV ATM menasihatkan, mana-mana agensi, media, NGO atau orang persendirian untuk merujuk kepada Ibu Pejabat JHEV ATM atau JHEV ATM Cawangan Negeri berdekatan terlebih dahulu, sebelum melaporkan sebarang isu berkaitan permasalahan Veteran ATM.

“Agar tidak berlaku kesilapan pelaporan maklumat yang tidak sahih yang boleh menjejaskan imej kewartawanan, JHEV ATM sentiasa mengalu alukan laporan atau kritikan daripada pelbagai medium yang bersifat membina yang mampu memperbaiki lagi mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan JHEV ATM.

“Sebarang maklumat dan bantuan yang disediakan serta informasi terkini boleh diperolehi melalui laman sesawang www.jhev.gov.my atau media sosial JHEV ATM atau menghubungi Talian Khidmat Pelanggan JHEV ATM di talian 03-2697 6600,” katanya.

Terdahulu, kisah seorang bekas askar wataniah yang dikenali sebagai Ruslan tular di media sosial selepas disiarkan portal tersebut.

Ruslan mendakwa, perkhidmatan sebagai askar wataniah terpaksa diberhentikan pada 2014 selepas beliau menghidap radang paru-paru. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here