AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng menggesa kerajaan membina hospital dengan dilengkapi penyediaan jaringan pengangkutan yang ‘mampu’ sampai sehingga ke fasiliti perubatan awam tersebut.
Gesaan itu dibuat Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang selepas menyaksikan kebanyakan hospital kerajaan tidak mempunyai pengangkutan awam untuk sampai ke perkarangan hospital.
“Kerajaan Pusat apabila membina hospital dan memilih lokaliti hospital perlulah ada jaringan pengangkutan yang boleh dan mampu sampai ke hospital tersebut.
“Bayangkan Hospital Serdang adalah sebuah hospital yang mempunyai kepakaran jantung. Lepas itu si miskin yang sakit nak tunggu bas berjam jam dan berhenti di ‘bas stop’ di bawah hospital.
“Lepas itu kena naik tangga baik bukit baru lah sampai ke pintu masuk hospital. Belum sempat panjat tangga, dah mati kerana sakit jantung. Mengapa ‘bas feeder’ tak boleh diadakan terus ke pintu masuk hospital?,” katanya menerusi Facebook.
Uncle Kentang berkata, selain Hospital Serdang, Institut Jantung Negara (IJN) juga berdepan situasi sama sekali gus menyukarkan orang awam yang mahu mendapatkan rawatan di pusat perubatan terbabit.
“Sama dengan IJN. Ada ‘public bas’ masuk ke sana? Tiada. Kalau orang susah dan miskin dirujuk ke IJN mereka terpaksa naik Grab atau naik Teksi.
“Manalah mereka nak bayar wang? Sama dengan HUKM dan Sungai Buloh serta Selayang Hospital. Adakah rakyat dibiarkan sengsara?
“Tak kan dalam ‘budget’ Kementerian Pengangkutan tak boleh beri subsidi kepada pengusaha untuk sediakan bas feeder? ,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu amat menyedihkan kerana mereka yang ke hospital adalah orang sakit yang tidak berkeupayaan untuk berjalan walaupun dalam jarak yang dekat.
“Jangan bina hospital besar-besar tetapi pengangkutan awam tak ada sampai pintu hospital.
“Orang sakit pergi hospital tak mungkin boleh jalan 50 meter pun. Mereka bukan sihat, Kerajaan Malaysia harus merancang pembinaan hospital yang mempunyai sistem pengangkutan yang mampu bawa pesakit ke hospital.
“Cuci luka RM 1. Kos untuk pergi hospital buat cuci luka RM50 ulang alik. So biarlah luka reput. Makcik Kiah dan Pakcik Ismail manalah ada duit nak bayar teksi atau Grab? Harap anak-anak, semua ada pun motosikal yang mungkin sudah buruk,” katanya.
Justeru, beliau mendesak kerajaan supaya memandang serius situasi berkenaan dan segera menyelesaikan isu terbabit bersama-sama Kementerian Pengangkutan.
“Mengapa ramai tak pergi buat rawatan susulan? Kerana tak mampu bayar kos teksi dan ambulan.
“Kalau LRT boleh buat ‘feeder bas’ tak kan hospital tak boleh buat ‘feeder bas’,” katanya. – Malaysiapost

