Ban pecah, penduduk 4 daerah di Kedah alami gangguan bekalan air

0
3

EMPAT Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah terpaksa dihentikan operasi berikutan kejadian runtuhan ban kanan Terusan Tengah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) semalam.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu kenyataan memaklumkan, loji yang terbabit adalah LRA Bukit Pinang, LRA Pokok Sena, LRA Jenun Lama dan LRA Jenun Baru.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual ke atas kira-kira 80,000 akaun pengguna bermula jam 4.15 petang semalam.

Katanya, masalah bekalan air dijangka menjejaskan orang ramai di daerah Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, dan Yan.

“Henti tugas empat LRA ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan anggaran 80,000 akaun merangkumi empat daerah berkenaan.

“MADA kini sedang giat mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu ini dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan ban seliaan MADA runtuh susulan hujan lebat di kawasan tadahan dan di dataran semalam menyebabkan aliran tidak terkawal dan paras air dari tadahan Sungai Padang Terap, meningkat.

Menurut kenyataan itu lagi, bilik gerakan ibu pejabat telah diaktifkan serta merta susulan kejadian itu dan pengguna boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan menerusi talian 04-7408976 selain platform sedia ada iaitu Pusat Transformasi SADA.

“SADA memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengguna akibat gangguan bekalan air ini dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

“Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook Syarikat Air Darul Aman dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here