PELAKON popular dan pengacara, Mira Filzah selamat melahirkan cahaya mata sulung di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Berita gembira itu dikongsi oleh suami Mira, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar menerusi hantaran di Instgramnya, hari ini.
Jelas Wan Emir, bayi lelaki mereka yang dilahirkan jam 3.40 pagi itu adalah sama dengan tarikh kelahiran isterinya mengikut kalendar Islam.
“Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT Pencipta sekalian alam, serta selawat keatas junjungan mulia Baginda Nabi Muhammad SAW.
“Isteri syurgaku Nur Amirah Filzah binti Badioezaman telah selamat melahirkan putera sulung kami pada tarikh sama seperti ibunya iaitu pada tarikh 9 Syawal bersamaan 10 Mei 2022 pada pukul 3.40 pagi,” tulisnya.
Wan Emir Astar berkata, Mira dan bayi mereka kini dalam keadaan baik dan mengucapkan terima kasih atas doa orang ramai.
“Putera kami yang bergema nyaring tangisannya berada dalam keadaan sihat, di samping ibunya yang juga dalam keadaan sihat.
“Kami mengucapkan jazakallahu khairan dan jutaan terima kasih kepada semua atas doa dan harapan yang telah dicurahkan ke atas perjalanan kami sekeluarga, moga segala kebaikan buat kalian semua juga” katanya.
Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 29 mendirikan rumah tangga dengan Wan Emir yang juga anak kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu pada September 2020.
Hantaran berkenaan dibanjiri ucapan tahniah daripada peminat termasuk selebriti tanah air yang turut gembira dengan berita kelahiran putera sulung pasangan terbabit. – Malaysiapost

