PADA tarikh hari ini empat tahun lalu, ruangan media sosial dipenuhi dengan pelbagai reaksi anak-anak muda yang seronok menzahirkan kepuasan hati tidak perlu lagi membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang antara janjinya adalah menghapuskan hutang pinjaman PTPTN.
Beliau mendakwa, ia adalah antara janji yang paling berjaya mencetuskan gelombang besar kemenangan PH menumpaskan Barisan Nasional (BN).
“Sehinggakan ruangan media sosial empat tahun lalu pada tarikh hari ini dipenuhi dengan pelbagai reaksi di kalangan anak-anak muda yang begitu seronok menzahirkan kepuasan hati mereka tidak perlu lagi membayar balik hutang PTPTN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, gelombang itu berjaya mempengaruhi ibu bapa termasuk jentera Umno sendiri hasil pujukan anak-anak mereka.
“Masakan tidak, ada antara anak-anak mereka bersungguh-sungguh memujuk rayu ‘Abah dan mak bagilah undi sekali ini je pada PKR (PH). Bayangkan hutang PTPTN kakak sahaja yang kena bayar RM35,500, adik RM28,000. Kalau PH menang jimat RM63,500!’,” katanya.
Asyraf Wajdi turut berkongsi beberapa petikan hantaran dibuat pengguna media sosial empat tahun lalu yang gembira meraikan kemenangan PH dalam PRU-14.
Antara luahan netizen ketika itu adalah “Baru lena tidur Pakatan menang…bye hutang PTPTN”, “Bye bye PTPTN…abang Imigresen boleh buka blacklist saya nak pi Siam ni” dan “Bye bye PTPTN, hello travel agency…hello Landon, saya dah tak blacklist”. – Malaysiapost

