Malaysia-Tunisia bincang isu situasi sukar industri penerbangan

0
2

MESYUARAT dua hala Malaysia dan Tunisia sempena penganjuran ‘Future Aviation Forum’ membincangkan pelbagai isu yang dihadapi pemain industri penerbangan semasa pasca pandemik.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata antara perkara dibincangkan termasuk langkah berkesan perlu diambil oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi mengatasi isu berbangkit.

“Mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Tunisia telah berlangsung di King Abdul Aziz’s Convention Centre, Riyadh sempena penganjuran ‘Future Aviation Forum’ oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Pelbagai isu telah dibincangkan antara saya dengan Menteri Pengangkutan Tunisia, HE Rabie Majidi termasuk kesukaran yang dihadapi oleh pemain industri penerbangan semasa pasca pandemik, walaupun kita sedang memasuki tempoh peralihan ke endemik

“Langkah berkesan perlu diambil oleh ICAO dan semua pemegang taruh untuk menjalin kemampanan dan penjanaan ekonomi penerbangan,” katanya menerusi Facebook.

Ka Siong berkata, kenaikan harga minyak akibat konflik negara tertentu turut menjadi cabaran terbesar dalam bidang penerbangan awam.

“Tunisia adalah negara Ahli Majlis ICAO dari penggal ini (2019-2022) dan negara ini tidak akan bertanding semula untuk kerusi Ahli Majlis ICAO pada persidangan ICAO akan datang yang akan diadakan di Montreal Kanada pada penghujung September 2022 kerana mematuhi sistem penggiliran kumpulan wilayahnya.

“Di akhir perbincangan, saya memohon sokongan daripada HE Rabie Majidi untuk membolehkan Malaysia dipilih sekali lagi sebagai Ahli Majlis ICAO untuk tempoh enam penggal berturut-turut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here