Hospital Kajang berjaya laksana prosedur pendermaan organ

0
2

HOSPITAL Kajang mencatat sejarah tersendiri selepas buat julung kalinya berjaya melaksanakan prosedur pendermaan organ di hospital berkenaan semalam.

Kejayaan itu mendapat penghargaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Terima kasih diucapkan kepada pasukan Tissue & Organ Procurement (TOP), Jabatan Anestesiologi & Unit Rawatan Rapi, Jabatan Perubatan, Jabatan Patologi, Jabatan Radiologi, Jabatan Kecemasan dan Unit Forensik Hospital Kajang.

“Selain pasukan pakar Urologi (Mr Ashani dan Mr Tham) Hospital Kuala Lumpur yang membantu menjayakan pelaksanaan prosedur ini.

“KKM juga ingin merakamkan penghargaan kepada keluarga penderma atas tindakan murni ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Prosedur pendermaan organ.

Menurutnya, pendermaan organ merupakan anugerah kehidupan yang sangat bernilai kerana ia bukan sahaja memberikan kualiti hidup yang lebih baik, malah menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan fungsi organ.

“Berdasarkan rekod terkini, terdapat lebih 4,600 pesakit di dalam senarai menunggu organ di negara ini. Sebagai makluman, sejarah transplantasi organ di Malaysia telah bermula sejak tahun 1975 lagi.

“Pelbagai aktiviti dan langkah pengukuhan terus dijalankan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan pendermaan organ,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Pusat Sumber Transplan Nasional sehingga kini, sejumlah 2,624 pesakit telah menerima manfaat pembedahan transplantasi organ hasil pendermaan organ selepas kematian dan penderma hidup.

BACA LAGI: JIM lanjut operasi pejabat hingga 10 malam mulai Rabu ini

“Bagi tujuan menyelaras dan melicinkan proses pendermaan organ, unit atau pasukan perolehan organ telah ditubuhkan di hospital-hospital KKM sebagai inisiatif untuk mengukuhkan perkhidmatan ini.

“Saya menyeru semua pihak untuk terus menyokong program pendermaan organ di Malaysia, demi membantu pesakit-pesakit ini. Daftarlah sebagai pengikrar derma organ dan maklumkan hasrat kepada keluarga.

“Untuk sebarang maklumat lanjut, laman web derma organ boleh dilayari di www.dermaorgan.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here