PROSES pembinaan loji air dan pemasangan paip baharu di Kelantan sedang dijalankan dengan kerjasama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Pengerusi PAAB, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata lantikan PAAB selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan Persekutuan di bawah pemantauan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Terkini RM622 juta telah diluluskan oleh PAAB untuk membiayai projek-projek tersebut,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata Kerajaan negeri menganggarkan ia memerlukan sekitar RM7 bilion untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.
Menurutnya, peruntukan itu bagi menukar sistem paip lama melibatkan jarak 5,000 kilometer, serta pembinaan loji baharu.
BACA LAGI: Hospital Kajang berjaya laksana prosedur pendermaan organ
Beliau mengakui, kerajaan negeri sudah berusaha bagi mengatasi masalah bekalan air bersih selama 30 tahun.
Namun, dakwanya, pertikaian politik dengan kerajaan persekutuan menjadi punca negeri itu tercicir daripada menerima peruntukan.
Ini termasuk isu pembatalan projek air Kelantan Utara bernilai RM600 juta pada 1990. – Malaysiapost

