OPERASI pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dilanjutkan sehingga jam 10 malam mulai Rabu ini dalam usaha mengatasi kesesakan susulan peningkatan mendadak permintaan untuk urusan pasport.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata pejabat yang terbabit lanjutan operasi berkenaan adalah Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Menurutnya, semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung juga beroperasi sehingga jam 10 malam, manakala operasi bagi pejabat di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Kelantan dan Perlis adalah hingga jam 6 petang.
“Semua pejabat pasport di Semenanjung Malaysia akan beroperasi pada hari Sabtu bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah bermula 14 Mei ini
“Bagi rakyat Malaysia yang akan mengerjakan ibadah Haji boleh terus hadir ke mana-mana pejabat pengeluar pasport dengan membawa surat tawaran daripada Tabung Haji (TH) dan kaunter khas yang disediakan,” katanya.
BACA LAGI: Tun M mahu Langkawi jadi pintu masuk produk Azerbaijan ke Malaysia
Beliau berkata demikian dalam sidang media Penambahbaikan Perkhidmatan Kaunter Pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa, di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, sejak pembukaan pintu sempadan negara pada 1 April lalu berlaku peningkatan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) iaitu adalah sebanyak 40 peratus.
“Dari 1 April hingga 6 Mei lalu, sebanyak 165,449 PMA telah dikeluarkan pejabat Imigresen seluruh negara berbanding 111,931 PMA yang dikeluarkan pada Mac 2022.
“Negeri yang mencatatkan permohonan PMA tertinggi adalah Putrajaya, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya.
Menurutnya, sejak sempadan negara dibuka seramai 1,388,434 rakyat Malaysia telah membuat perjalanan ke luar negara bagi urusan rasmi Kerajaan, menunaikan umrah dan haji, perniagaan, menyambung pelajaran, perubatan dan lawatan sosial.
“Berdasarkan maklum balas daripada orang ramai, isu yang dikenal pasti dalam proses permohonan PMA adalah isu kelewatan menerima notifikasi melalui e-mel selepas permohonan, masalah untuk memuat naik gambar dan masalah cap jari.
“Selain itu, pelanggan juga menghadapi masalah tidak mendapat nombor giliran dan terpaksa menunggu lama,” katanya. – Malaysiapost

