Kes Covid-19 menunjukkan trend penurunan – Dr Noor Hisham

0
2
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan secara keseluruhan, bilangan kes baharu pada minggu epidemik ke 18 (ME 18/2022) iaitu dari 1 hingga 7 Mei lalu menurun sebanyak 58.3 peratus atau 20,937 kes kepada 8,732 kes berbanding pada ME 17/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia membabitkan bilangan kes tempatan yang menurun sebanyak 58.3 peratus daripada 20,876 kes kepada 8,703 kes; dan kes import menurun sebanyak 52.5 peratus daripada 61 kes kepada 29 kes.

Beliau berkata, bilangan kes kematian pada ME 18/2022 menurun sebanyak 42.9 peratus iaitu 56 kes kepada 32 kes berbanding ME 17/2022.

Menurutnya, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh sama juga menurun sebanyak 27 peratus.

“Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk bagi tempoh ME 1/2022 hingga ME 18/2022 pula menurun sebanyak 50 peratus

“Dalam tempoh itu jumlah pesakit kategori 1 dan 2 menurun sebanyak 50 peratus; dan pesakit kategori 3,4, dan 5 juga menurun sebanyak 50 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA LAGI: PH gesa KPM segera atasi isu bebanan guru

Beliau berkata, secara keseluruhan peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 menurun pada ME 18/2022 berbanding ME 17/2022 dengan penggunaan katil bukan kritikal menurun sebanyak 21 peratus; katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 20 peratus dan katil di PKRC menurun sebanyak 100 peratus.

“Jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) pula menurun sebanyak 26 peratus,” katanya.

Menurutnya, dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 7 Mei 2022 (ME 18/2022), situasi terkini Covid-19 yang pula merekodkan kumulatif kes baharu sebanyak 4,456,736 kes (kes aktif: 23,276 kes); kumulatif kes sembuh sebanyak 4,397,881 kes; kumulatif kes kematian adalah 35,579 kes; dan kumulatif kluster sebanyak 7,010 kluster dengan 71 kluster aktif.

Sementara itu, berdasarkan data yang dikongsikan di portal COVIDNOW, kes baharu harian Covid-19 yang dilaporkan semalam adalah sebanyak 2,153 kes termasuk dua kes import.

Jumlah itu sekaligus menjadikan keseluruhan kes kini adalah sebanyak 4,458,889 kes sejak wabak berkenaan melanda negara.

Kes kematian baharu Covid-19 yang dilaporkan semalam pula adalah sebanyak empat kes dengan tiga daripadanya kematian di luar hospital (BID), menjadikan sehingga kini angka korban di negara ini meningkat kepada 35,583 kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here