Institusi politik untuk naik taraf hidup rakyat, bukan jadi VVIP

0
1

INSTITUSI politik diharapkan untuk menaik taraf kehidupan rakyat, bukan jadikan mereka VVIP, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu mengulas rakaman tular memaparkan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan didakwa dipandu anak kepada seorang Ahli Parlimen, baru-baru ini.

Sindir Syed Saddiq, rakyat kena guna pengangkutan awam, tetapi keluarga ahli politik ada “outrider” khas.

“Rakyat masuk sekolah kebangsaan, tapi anak MP belajar di tadika luar negara.

“Rakyat kena bersesak dalam hospital awam, tapi VVIP politik tak perlu risau – hantar ke hospital luar negara.

“Ahli politik gubal dasar, tapi mereka tidak percaya dengan dasar sendiri. Apa yang rakyat rasa, mereka tak mahu rasa. Rakyat susah, mereka tutup mata. Rakyat bersesak hadap trafik, mereka senang-senang ada orang iring,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata anak, ahli keluarga dan kaum kerabat VVIP politik semakin senang, sedangkan  rakyat makin hari makin susah.

“Sebab itu wujud kumpulan/kelas VVIP politik. Hasil politik yang mengangkat pemimpin dan ahli keluarga tanpa mengira urusan rasmi atau tidak rasmi.

“Asalkan VVIP politik – hilang semua sensitiviti dan empati kepada rakyat,” katanya lagi.

Semalam Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya sedang menyiasat rakaman video seorang lelaki memandu sebuah kenderaan diiringi dua polis trafik menggunakan motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya telah membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here