SEORANG warga Pakistan disiasat polis selepas dipercayai membuat laporan polis palsu mendakwa disamun sekumpulan lelaki di Jalan Telawi 3 Bangsar, pada kira-kira jam 2 pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata lelaki berusia 22 tahun itu membuat laporan polis pada jam 4.15 petang Sabtu lalu.
Beliau berkata, pihaknya mengesan satu kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter pada jam 2.45 petang semalam, mengenai layanan polis terhadap pasangan kekasih yang mendakwa telah disamun di Bangsar serta dipaksa menarik semula laporan polis yang dibuat.
Menurutnya, kenyataan yang tular di media sosial itu mendapat 508 sukaan, 62 komen dan 537 ulang ciap.
“Lelaki warga Pakistan terbabit membuat laporan polis mendakwa ketika berada di kaki lima di Jalan Telawi 3, sekumpulan lelaki telah meminta wang dan memukulnya di bahagian muka.
“Pengadu turut mendakwa kumpulan lelaki berkenaan mengambil barangan peribadinya berupa sebentuk cincin perak, rantai leher emas, telefon bimbit i-Phone dan wang tunai dengan anggaran kerugian kira-kira RM6,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat dan semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kajadian oleh pihak polis mendapati tiada sebarang kejadian samun atau pertengkaran sepertimana dinyatakan lelaki terbabit dalam laporan polisnya.
“Rakaman CCTV juga menunjukkan pengadu bersama dua wanita menyeberang Jalan dari hadapan sebuah bank di Jalan Telawi ke tempat letak kereta dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa.
“Berdasarkan keterangan saksi, wujud kehadiran polis menyuraikan beberapa pelanggan yang menjerit-jerit kerana mabuk di sebuah kelab yang dikunjungi oleh lelaki Pakistan terbabit pada hari kejadian.
“Namun CCTV tidak memaparkan sebarang kejadian samun atau pertengkaran yang membabitkan lelaki terbabit dan teman wanitanya di lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, dalam kes berkenaan polis mendapati lelaki Pakistan terbabit telah membuat laporan polis palsu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan tuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat laporan polis palsu kerana boleh disabitkan dengan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
“Kenyataan mengenai layanan pihak polis ke atas pengadu serta dakwaan polis meminta menarik semula laporan polis adalah tidak benar. Spekulasi berkaitan kenyataan yang tular itu hendaklah dihentikan,” katanya. – Malaysiapost

