Malaysia dahului pungutan pingat Sukan SEA Hanoi

0
3

MALAYSIA kini mendahului kedudukan pingat dalam temasya Sukan SEA Hanoi dengan dua pingat emas dan satu perak yang diperoleh melalui kem terjun negara di Pusat Akuatik My Dinh, Vietnam semalam.

Pasukan tuan rumah Vietnam pula dikedudukan kedua dengan satu perak dan satu gangsa.

Kontinjen negara berpeluang menambah pingat lagi hari ini juga melalui atlet terjun negara yang beraksi pada saingan final acara 1 meter (m) papan anjal lelaki dan final acara 3m papan anjal seirama wanita yang dijadualkan pada petang ini.

Atlet negara turut akan beraksi dalam dua acara suku akhir kick boxing yang dijadualkan berlangsung pada malam ini.

Semalam kontinjen negara digembirakan oleh skuad terjun kebangsaan dengan meraih pingat emas pertama menerusi Nur Dhabitah Sabri selepas mengungguli saingan final acara 1m papan anjal wanita.

Kimberly Bong pula mencipta kejutan merangkul perak untuk mengiringi Nur Dhabitah di podium.

Gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang menggandakan kegembiraan menerusi pingat emas kedua negara dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki.

Kem terjun akan meneruskan pemburuan pingat emas esok dengan Tze Liang dan Betrand Rhodict Anak Lises menggalas cabaran negara dalam acara 1m papan anjal lelaki dijadualkan pada jam 4 petang ini.

Sementara pasangan Ng Yan Yee-Ong Ker Ying akan bertanding dalam acara 3m papan anjal seirama wanita yang dijadualkan bermula jam 5.10 petang.

Atlet negara yang bakal beraksi dalam saingan suku akhir kick boxing pula adalah Mohammad Rifdean Masdor menentang peninju Kemboja pada jam 7 malam, manakala Ain Kamaruddin akan menentang peninju Filipina pada 8.45 malam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here