POLIS Pulau Pinang menjalankan siasatan terhadap rakaman video seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi oleh dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya juga telah membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis negeri itu susulan video yang tular di media sosial sejak semalam.
“Pada 7 Mei 2022 telah terkesan satu rakaman video yang tular berdurasi 20 saat, dimuat naik oleh pemilik akaun anwarazeez. Rakaman tersebut memaparkan seorang lelaki (orang awam) memandu sebuah kenderaan dan diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik PDRM.
“Pihak Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan berkenaan kejadian yang berlaku di Jalan Bukit Gambir itu dan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular klip video memaparkan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen.
Kejadian itu mendapat reaksi orang ramai yang tidak berpuas hati dengan individu tersebut yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.

