KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengucapkan tahniah kepada seorang pemilik Facebook kerana berani menegur seorang warga asing yang mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di negara ini.
Ucapan tersebut yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi KPDNHEP hari ini, ditujukan kepada pemilik akaun dengan nama Mawi La.
“Tahniah kepada rakan FB KPDNHEP, Mawi La kerana membuat teguran terhadap kenderaan bernombor pendaftaran asing yang mengisi RON95.
“Perbuatan ini menyalahi Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
“Diharapkan semua netizen memainkan peranan yang sama bagi memastikan petrol bersubsidi dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia,” tulis KPDNHEP.
Terdahulu Mawi La menerusi perkongsian di Facebooknya memaklumkan dia menegur rakyat negara jiran dari menjarah subsidi wang cukai rakyat Malaysia.
“Terus kelam kabut letak balik nozzle RON95 dan bagi alasan salah tekan.
“Aku bagitau pada cashier suruh batalkan transaksi atau aku report ke KPDNHEP,” tulisnya.
Berdasarkan gambar serta tanda pagar ditulis Mawi La, kenderaan yang terlibat adalah milik warga Singapura mengikut nombor pendaftaran, manakala kejadian dipercayai berlaku di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah Selatan.
Baru-baru ini, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa orang ramai terus lapor ke stesen minyak jika mengesan warga asing mengisi RON95 yang disubsidi.
Sejak pintu masuk Malaysia-Singapura mula dibuka pada 1 April lalu, terdapat beberapa berita tular memaparkan kenderaan dengan plat pendaftaran republik itu mengisi RON95.
Sekiranya pihak berkuasa mendapati warga asing mengepam petrol RON95, tindakan hanya boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak.
Mereka yang ditangkap kerana melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), yang mengawal Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, boleh berdepan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi individu, dan denda sehingga RM2 juta untuk entiti atau syarikat.
Kenderaan dengan pendaftaran asing tidak dibenarkan membeli RON95 di Malaysia yang mana peraturan itu termaktub sejak 1 Ogos 2010.
Ini kerana subsidi yang dibiayai cukai yang lebih tinggi hanya disediakan untuk pengguna RON95, iaitu untuk pengguna kenderaan berpendaftaran Malaysia sahaja, manakala untuk kenderaan asing, hanya dibenarkan membeli petrol RON97 atau RON100. – Malaysiapost

