SKUAD bolasepak Malaysia membuka langkah kanan dalam perlawanan sulung Kumpulan B temasya Sukan SEA apabila membenam Thailand 2-1 di Stadium Thien Truong, sebentar tadi.
Anak buah Brad Maloney menampilkan aksi terpuji sepanjang perlawanan menentang juara 16 kali itu yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain berikutan seorang pemainnya diarah keluar padang pada penghujung babak pertama.
Keputusan itu membolehkan skuad negara mengungguli Kumpulan B dengan tiga mata.
Dalam aksi malam tadi, Thailand rancak menyerang Malaysia sejak wisel permulaan ditiupkan.
Skuad negara cemas pada minit kesembilan apabila percubaan Ekanit Panya berjaya diselamatkan Azri Ghani, disusuli tandukan Jonathan Khemdee hasil sepakan sudut selepas itu.
Selepas 20 minit pertama Malaysia masih lagi gagal mengancam kubu Thailand, namun peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-23 menerusi rembatan Luqman Hakim Shamsudin melewati tinggi pintu gol lawan.
Gawang Malaysia ‘bocor’ pada minit ke-33 selepas Patrick Gustavsson bijak mengatasi kawalan dua pertahanan Malaysia dan percubaannya yang perlahan cukup untuk menewaskan Azri.
Gustavsson sekali lagi menguji Azri pada minit ke-37 namun kali ini gagal mengatasi penjaga gol negara itu dan giliran Nik Akif menguji Kawin Thamsatchanan seminit berselang.
Malaysia berkelebihan seorang pemain apabila Khemdee dilayangkan kad merah pada minit ke-41 selepas menjatuhkan Syahir Bashah yang dilihat memiliki peluang untuk mendapatkan bola dan menghasilkan sesuatu buat Malaysia.
Gol penyamaan yang dinanti-nantikan muncul pada minit ke-61 selepas gerakan Mukhairi Ajmal gagal dikekang pertahanan Thailand dan hantaran lintangnya disudahkan Danial Asri dari jarak dekat untuk kedudukan 1-1.
Perlawanan seakan seri 1-1, namun Malaysia yang mahukan kemenangan akhirnya berjaya merentap keegoan Thailand pada minit akhir apabila Azfar Fikri Azhar menyumbat gol kemenangan. – Malaysiapost

