UMNO mempersoalkan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuka cerita kononnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta bekas Perdana Menteri itu campur tangan dalam kes mahkamah dihadapinya semasa tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ini kerana kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, pendedahan itu dibuat dua tahun selepas tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu.
“Jika perkara ini berlaku pada permulaan penubuhan kerajaan PN seperti didakwa TSMY (Muhyiddin), kenapa beliau hanya buka cerita ini semasa tempoh PRN Johor?
“Kenapa hanya apabila ditekan oleh Umno, keluarkan cerita sebegini hingga mengguna saluran utama untuk keluarkan dakwaan tersebut setelah tiada lagi kepentingan dengan Umno? Kenapa tak dari awal?
“Inilah dimaksudkan peribahasa terhimpit hendak di atas, terkurung hendak di luar. Tidak mahu mengambil tanggungjawab atas ketidakikhlasan berkawan dengan Umno. Bila Umno bantu pinjamkan majoriti, tiada bunyi. Bila nampak Umno tak lagi mahu bersama, lain pula,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Shahril berkata cerita tersebut sama ada rekaan, atau Muhyiddin pentingkan jawatan selaku Perdana Menteri.
“Atau lebih tepat, pilih naratif ini: Presiden Umno telah memimpin parti yang telah jatuh sehingga mampu bangun dan kembali ke landasan kemenangan.
“Telah membawa kejayaan dalam tempoh singkat yang tak terbayang dek akal sewaktu mula-mula pasca PRU14 – walaupun ditekan pelbagai pihak sejak 2018.
“Maka, lawan parti akan sentiasa tidak senang duduk, melempar pelbagai tuduhan dengan niat menjatuhkan, meskipun beliau tidak pun disabitkan apa-apa kesalahan lagi,” katanya.
Terdahulu Muhyiddin mendakwa Ahmad Zahid menunjukkan sejumlah fail yang banyak berkaitan kes jenayahnya dan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah.
Menerusi dokumen difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April lalu, Muhyiddin, 74, mendakwa Ahmad Zahid, 69, membuat permintaan selepas menghadiri mesyuarat di kediaman bekas Perdana Menteri itu.
“Selepas saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, satu mesyuarat diadakan di kediaman saya bagi membincangkan, antara lain, pembentukan Kabinet baharu.
“Beberapa individu menghadiri mesyuarat itu termasuk plaintif, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Hadi Awang. Selepas mesyuarat berakhir, plaintif meminta untuk bercakap dengan saya secara peribadi dan saya meminta Azmin untuk turut serta.
“Ketika perbincangan, beliau menunjukkan sejumlah besar fail dibawa ke mesyuarat itu. Apabila saya tanya mengapa dia bawa fail itu, dia kata fail itu ada kaitan dengan kes jenayah terhadapnya yang didakwa mempunyai motif politik, dia kata dia tak bersalah dan minta bantuan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi afidavit jawapan terhadap permohonan injunksi yang difailkan oleh Ahmad Zahid dalam saman fitnah berhubung dakwaan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu meminta bantuan Muhyiddin untuk menyelesaikan atau menangguhkan kes mahkamahnya. – Malaysiapost

