GARA-GARA nasi goreng kosong dan telur berharga RM6, berlaku pergaduhan di sebuah restoran di Jempol, semalam.
Segalanya bermula apabila juruwang dikatakan meninggi suara kepada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan harga makanan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata kejadian kira-kira 1 pagi itu berlaku selepas juruwang restoran itu meninggikan suara kepada seorang pelanggan wanita yang mempertikaikan harga nasi goreng kosong dan telur RM6.
“Situasi itu menyebabkan anak wanita itu berang dan mengambil kotak tisu serta membaling ke arah juruwang tersebut sehingga terkena barang di atas kaunter,” katanya hari ini.
Chang Hook berkata, seorang pekerja di restoran itu kemudian menumbuk anak lelaki wanita itu sebelum dilerai pekerja lain dan pelanggan di premis berkenaan.
Katanya lagi, laporan polis dibuat oleh mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menafikan polis campur tangan dalam menyelesaikan kes itu “secara tak rasmi”, sebaliknya pihaknya mengambil tindakan mengikut prosedur dan peraturan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
“Orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Restoran itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi tidak berfungsi,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi di media sosial yang boleh mengganggu siasatan dan ketenteraman awam. – Malaysiapost

