KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, menggesa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin supaya menubuhkan jawatankuasa inkuiri khas berhubung insiden kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) baru-baru ini.
Menurutnya, penubuhan jawatankuasa khas berkenaan adalah penting bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan mengelakkan kisah sedih sama berulang lagi terutamanya melibatkan doktor-doktor pelatih di negara ini.
“Pada dasarnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak-pihak berkenaan perlu segera tampil menjelaskan kejadian yang berlaku, dan pada masa sama mengkaji serta merombak semula sistem pengurusan sedia ada sekiranya perlu.
“Terutamanya membabitkan tempoh masa penugasan doktor-doktor di institusi-institusi perubatan kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berpendapat KKM tidak wajar berdiam diri dan membiarkan perkara itu berterusan.
BACA LAGI: Urusan dadah dipercayai punca lelaki ditembak di kepala
“Strategi serta jalan penyelesaian yang wajar adalah perlu disegerakan demi jaminan sistem perubatan negara kita secara menyeluruh,” katanya.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang semalam menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kematian doktor pelatih berkenaan.
Pengarahnya, Dr Maarof Sudin, dilaporkan berkata JKN Pulau Pinang dan HPP akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Pulau Pinang

