
JUMLAH kes harian baharu Covid-19 kembali kepada 1,000 kes dengan merekodkan 1,054 kes semalam sedikit meningkat berbanding 922 kes yang direkodkan kelmarin.
Berdasarkan data di portal COVIDNOW, jumlah kes baharu itu menjadikan keseluruhan 4,452,835 kes kumulatif sejak wabak berkenaan melanda negara.
Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 1,053 kes membabitkan penularan tempatan, manakala satu kes import dilaporkan.
Jumlah kematian baharu akibat Covid-19 pula menurun dengan hanya tiga kes kematian dilaporkan semalam dan tanpa kes kematian di luar hospital (BID), sekaligus menjadikan keseluruhan jumlah kematian adalah 35,567 kes.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 28,777 kes aktif Covid-19 dilaporkan, termasuk 74 pesakit yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 41 memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada jumlah kes aktif itu, 95.1 peratus atau 27,361 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 14 kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), sementara 1,328 orang atau 4.6 peratus menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, seramai 4,107 pesakit dilaporkan sembuh semalam dan tiada kluster baharu direkodkan, menjadikan keseluruhannya kekal 7,010 kluster, dengan 81 masih aktif. – Malaysiapost
