PRN Sabah: Mohd Shafie diam bila ditanya langkah seterusnya parti itu

0
3

PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal enggan mengulas sebarang langkah yang akan diambil parti itu dalam masa terdekat.

Beliau hanya mengucapkan terima kasih ketika ditanya pemberita yang menunggu di hadapan Rumah Yayasan Sabah yang dijadikan kediaman Ketua Menteri di Likas, dekat Kota Kinabalu.

Mohd Shafie juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

“Terima kasih banyak atas sokongan diberikan oleh rakyat Sabah. Kita akan terus berkhidmat,” katanya dengan ringkas.

Sebelum ini, difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Warisan menandatangani Akuan Bersumpah (SD), dipercayai bagi menyokong beliau sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun, tidak diketahui berapa ramai ADUN yang menandatangani SD itu kerana dikatakan ia adalah sulit.

SD berkenaan difahamkan dihantar ke Istana Negeri petang ini.

Bagaimanapun, perkembangan terkini di Istana Negeri mengatakan Hajiji sudah dipanggil mengadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk menerima watikah pelantikan Ketua Menteri.

Majlis angkat sumpah dijadualkan jam 10.30 pagi esok.- Malaysiapost