Zahid: Ketua Menteri patut milik Umno, tapi BN akur

0
2

Fitri Nizam

PENGERUSI BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetap berpendapat jawatan Ketua Menteri Sabah sepatutnya milik Umno kerana parti itu memenangi jumlah kerusi terbesar dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, beliau menghormati keputusan GRS mencalonkan Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri baharu.

“Saya dimaklumkan, setelah rundingan dibuat di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS yang menang, akhirnya sepakat untuk mencalonkan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan setelah diabaikan kerajaan Warisan sebelum ini.

“Saya hormati keputusan tersebut atas dasar semangat autonomi Umno Sabah yang telah pun dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berharap kerajaan yang dibentuk dapat menyegerakan tumpuan kepada agenda untuk membela kepentingan rakyat Sabah seperti yang termaktun dalam Aku Janji GRS.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin, GRS yang dianggotai Umno, Bersatu, Star dan PBS memperoleh majoriti iaitu sebanyak 38 kerusi sekali gus dapat membentuk kerajaan negeri baharu.

Bagaimanapun, sehingga tengah hari tadi barulah gabungan itu senada untuk menamakan Hajiji sebagai Ketua Menteri baharu. – Malaysiapost