MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengambil maklum berhubung isu membabitkan guru kontrak perkhidmatan (COS) yang bakal menamatkan kontrak mereka Jun depan.
Beliau berkata, isu itu antara komen yang dikesan di laman media sosialnya dan perkara itu sememangnya dalam perhatiannya.
“Apabila ada kelapangan, saya akan baca komen-komen yang ada di media sosial saya. Dalam ruangan tersebut, selain daripada ucapan hari raya, ada juga komen yang dititipkan mengenai guru COS ambilan Jun 2020.
“Untuk makluman, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa prihatin akan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh masyarakat tentang pendidikan. Terkini, perkara berkaitan kegusaran guru yang akan tamat kontrak COS pada Jun 2022.
“Sebenarnya perkara ini sememangnya dalam perhatian saya. Dalam hal ini, saya telah arahkan supaya perkara ini diberi perhatian dan diselesaikan segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuatkuasa.
“Pengumuman akan dibuat selepas proses tersebut selesai. Kami di KPM komited untuk melakukan yang terbaik
demi kesejahteraan pendidikan generasi anak-anak pewaris negara,” katanya. – Malaysiapost

