DUA suspek kini diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang, petang semalam yang ditembak di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata suspek yang diburu itu adalah warga tempatan masing-masing berusia 40-an dan 50-an.
Menurutnya, polis mengenalpasti identiti kedua-dua suspek susulan penahanan seorang suspek semalam yang juga rakan mangsa.
“Hasil siasatan awal dan soal siasat ke atas suspek, kita berjaya mengenal pasti dua lagi suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 40-an dan 50-an.
“Usaha mengesan dan menahan mereka kini giat dijalankan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan termasuk mengenalpasti motif pembunuhan.
Noor Dellhan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat akan dijalankan petang ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Semalam media melaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan pada dahi dalam sebuah bilik hotel Jalan Bukit Bintang.
Mangsa berusia 49 tahun ditemui kira-kira jam 7 malam dan siasatan awal polis mendapati mangsa mendaftar masuk ke hotel berkenaan kira-kira jam 6 petang bersama seorang rakan lelakinya.
Mereka dikatakan dari Johor, namun tujuan mangsa dan rakannya itu datang ke Kuala Lumpur masih dalam siasatan polis. – Malaysiapost

