PASUKAN Liverpool mara ke final ketiga Liga Juara-Juara Eropah dalam aksi separuh akhir kedua yang mendebarkan menentang Villareal di Estadio de La Ceramica, Sepanyol awal pagi tadi.
Bangkit dari ketinggalan 2-0 pada babak pertama, pasukan kendalian Jurgen Klopp berjaya mengatasi Villareal 3-2 dengan agregat 5-2 sekali gus menempah tiket ke final kali ketiga dalam tempoh lima tahun.
Kejayaan ini juga merupakan kali ke-10 Liverpool layak ke final, setelah memenangi kejohanan itu sebanyak enam kali.
Liverpool yang berbekalkan agregat 2-0 selepas separuh akhir pertama di Anfield minggu lalu bagaimanapun dikejutkan pasukan bimbingan Unai Emery apabila ketinggalan 2-0 di separuh masa pertama.
Villareal menjaringkan gol seawal minit ketiga apabila Boulaye Dia menyudahkan hantaran lintang Etienne Capoue, dan tandukan Francis Coquelin pada minit ke-41 membolosi gawang Liverpool menjadikan agregat 2-2.
Liverpool terpaksa menunggu sehingga minit ke-62 untuk menjaringkan gol apabila rembatan kencang Fabinho hasil hantaran Mohamed Salah melepasi celah kangkang penjaga gol Villarreal Geronimo Rulli.
Tidak menunggu lama, Luis Diaz yang menggantikan Diogo Jota menanduk masuk hantaran lintang Trent Alexander-Arnold empat minit kemudian sekaligus menyamakan kedudukan dan agregat 4-2.
Liverpool meraih gol kemenangan pada minit ke-74 selepas Sadio Mane membuat larian cantik berjaya melepasi pemain pertahanan Villareal sebelum menjaringkan gol.
The Reds kini menunggu keputusan perlawanan separuh akhir kedua antara Manchester City dengan Real Madrid di Santiago Bernabeu, awal pagi esok.
Manchester City mendahului secara agregat 4-3 selepas separuh akhir pertama di Stadium Etihad minggu lalu.
Final Liga Juara-Juara Eropah akan diadakan pada 29 Mei ini, di Paris. – Malaysiapost

