Bekalan air di 472 kawasan di Selangor pulih

0
2

BEKALAN air di 472 kawasan membabitkan lima wilayah Air Selangor iaitu di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 3 petang semalam kini pulih sepenuhnya.

Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa bekalan air lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan) telah pulih pada jam 8 pagi tadi.

Menurutnya, gangguan bekalan air tidak berjadual itu adalah berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, semalam Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan mengenai insiden pencemaran yang telah dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, Air Selangor.

Susulan itu henti tugas sementara LRA Sg Semenyih dilakukan pada jam 6.15 pagi dan LRA Bukit Tampoi pada jam 11.30 pagi, semalam.

Berikutan henti tugas LRA Sg Semenyih dan LRA Bukit Tampoi itu, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 3 petang semalam.

Pihak Air Selangor bertindak menyediakan bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here