Jalin kerjasama dengan Facebook, Google, kekang sindiket penipuan tawaran kerja

0
3

KERAJAAN perlu mengambil langkah serius bagi membendung rakyat Malaysia terus diperdaya dan menjadi mangsa sindiket penyenayah antarabangsa yang kononnya menawarkan pekerjaan bergaji lumayan di luar negara.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kerajaan boleh bekerjasama dengan platform media sosial atau enjin carian seperti Facebook dan Google untuk mengekang gejala penipuan tawaran pekerjaan di luar negara terus berleluasa.

“Untuk mengelakkan lebih ramai pekerja daripada menjadi mangsa penjenayah ini, SKMM, PDRM dan agensi penguatkuasaan lain perlu bertindak dan bekerjasama dengan Facebook dan Google untuk menghapuskan sindiket ini, serta mendakwa pesalah di mahkamah.

“Mereka juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara jiran untuk menghentikan penjenayah dan membawa pekerja Malaysia pulang ke pangkuan keluarga mereka.

“Saya menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dalang-dalang operasi buruh paksa dan iklan palsu dalam talian yang sengaja mahu memperdaya belia tempatan yang sedang mencari peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Seremban itu menegaskan, setiap rakyat Malaysia yang bekerja di dalam mahu pun di luar negara memiliki hak pekerja dan dilindungi undang-undang.

“Hak pekerja, baik untuk rakyat Malaysia mahupun warganegara lain, sama ada di dalam atau pun di luar sempadan negara harus dilindungi melalui undang-undang domestik kita.

“.. menerusi kewajipan kita dan kewajipan rakan dagangan kita melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang kita sertai dan juga menerusi kewajipan antarabangsa yang didukungi,” katanya.

Pada masa sama, Anthony turut menasihati golongan muda agar berhati-hati dan tidak terpesona dengan ganjaran lumayan yang diumpan sindiket penjenayah.

“Di sini, saya ingin menarik perhatian kepada kes golongan muda Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah antarabangsa selepas diumpan menerusi iklan tawaran kerja dalam talian dan kemudian dipaksa bekerja pula sebagai operator sindiket penipuan dalam talian ini.

“Menurut laporan, beribu-ribu pekerja, ramai daripada mereka rakyat Malaysia, dipaksa bekerja di suatu kawasan di sempadan Thai – Myanmar untuk operasi perjudian dalam talian dan sindiket penipuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here