MB Johor ucap tahniah kepada TMJ

0
2

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengucapkan tahniah kepada Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas kejayaan pasukan itu melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL), malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Onn Hafiz berkata, beliau berharap kejayaan JDT itu akan menjadi pemangkin semangat kepada semua Bangsa Johor untuk terus maju dan mara.

“Assalamualaikum dan selamat pagi guys. Syukur Alhamdulillah, JDT melakar sejarah semalam apabila menjadi pasukan pertama negara yang layak ke pusingan kalah mati Asia Champions League.

“Setinggi tahniah patik ucapkan kepada Tunku Mahkota Johor dan pasukan JDT di atas kejayaan ini.

“Semoga ia menjadi pemangkin semangat kepada semua Bangsa Johor untuk terus maju dan mara ke hadapan. Toada apa yang mustahil dengan kehendak Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, JDT mara ke pusingan 16 Liga ACL 2022 selepas menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Gol sendiri pemain gantian Ulsan Hyundai, Park Yongwoo pada masa kecederaan babak kedua mengesahkan kemaraan JDT dalam kelompok 16 terbaik buat kali pertama dalam sejarah skuad Harimau Selatan itu.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan JDT mara ke pusingan 16 selaku juara Kumpulan I dengan meraih 13 mata hasil empat kemenangan, seri sekali dan tewas sekali setelah mengharungi enam perlawanan.

Tampil dalam misi wajib menang ke atas Ulsan Hyundai, JDT membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Leandro Velazquez hasil sepakan percuma yang cukup menarik.

Bagaimanapun, kegembiraan penyokong Harimau Selatan hanya bertahan seminit apabila pemain tengah Ulsan Hyundai, Jun Amano menjaringkan gol penyamaan.

Terikat 1-1 sama menyaksikan kedua-dua pasukan mula menggandakan asakan ke pintu gol lawan masing-masing dalam usaha menambah jaringan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here