AHLI Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkongsi detik cemas membantu wanita yang diganggu bekas suami yang mengamuk ketika beliau dalam perjalanan dari Pusat Khidmatnya untuk ke majlis berbuka puasa, petang semalam.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu, ketika dalam perjalanan ke majlis berkenaan, beliau melihat seorang lelaki memanjat cermin hadapan kereta yang dipandu seorang wanita di sebuah persimpangan lampu isyarat.
“Dalam perjalanan dari Pusat Khidmat tadi, di lampu isyarat kami terserempak dengan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita.
“Dalam tu ada dua anak kecil. Di hadapan bonet depan kereta. Ada seorang lelaki yang pakai kain pelikat sambil ada batu bata di tangannya, beraksi ala-ala spiderman melekap di situ. Sambil mengamuk.
“Saya cuba pujuk lelaki tu dengan cuba berbual-bual dengannya. Dari katanya saya andaikan mereka itu suami isteri. Tiba-tiba wanita itu terus laju ke hadapan (memandu kereta),” katanya menerusi Facebook.
Mas Ermieyati berkata, beliau bersama pengawal peribadinya yang juga seorang anggota polis bertindak mengejar kereta wanita terbabit kerana bimbang mangsa dicederakan.
“Kami kejar kereta tu khuatir wanita tu diapa-apakan. Yelah dengan keadaan macam tu. Siapa yang tak takut, sambil menangis dia bercakap dengan telefon bimbit di tangan.
“Nasib baik ada lampu isyarat merah di depan dan lelaki tu tiba-tiba turun dan mendekati wanita tu di tepi tingkap. (time ni aku agak cuak laa sebab takut dia pecahkan tingkap atau buat benda-benda lain).
“Tapi bila bertukar lampu isyarat hijau je nasib baik pemandu perempuan tu cepat pecut tinggalkan lelaki tu,” katanya.
Mas Ermieyati berkata, beliau bersama pengwal peribadinya terus mengejar kereta wanita tersebut dan berjaya memberhentikannya.
“Kami dapat berhentikan keretanya. Saya beritahu jangan risau , yang dengan saya ni pun polis ( bodyguard saya kebetulan ada).
“Betul , trauma sungguh dia dan anak-anak. Menangis. Kami bawa ke Balai Polis. Buat report. Rupanya itu bekas suaminya. Dia dah berkahwin lain empat tahun dulu tapi bekas suaminya masih ingat dia ini masih isterinya,” katanya.
Menurut Mas Ermieyati, wanita itu mendakwa sudah membuat empat laporan polis termasuk pernah dicederakan sehingga patah jari oleh lelaki berkenaan.
“Tadi saya teman dia buat laporan polis tapi kes dirujuk ke IPK. Saya doakan semoga dipermudahkan urusannya.
“Saya yakin banyak kes sebegini di luar. bila berlaku depan mata rasa macam drama je tadi. Tapi wanita tadi boleh saya andaikan dia agak berani. Masih boleh bertindak secara waras walaupun berdepan dengan trauma.
“Sekian cerita sebelum kita nak berbuka. Sepatutnya saya ada majlis berbuka puasa, terus tak dapat nak pergi. Baru nak cari makanan berbuka,” katanya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap ditunjukkan Mas Ermieyati membantu wanita berkenaan, selain ada mendakwa turut menyaksikan kejadian yang penuh mendebarkan berkenaan. – Malaysiapost

