LRA Sg Semenyih: Air Selangor janji bekalan air bersih disalur tengah malam 1 Mei

0
2
air selangor

KERJA-KERJA pembersihan dan proses rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah mencapai 59 peratus dan bekalan air bersih dijangka akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada pengguna bermula pukul 12:30 tengah malam 1 Mei ini.

Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri yang berkata, kerja-kerja pembersihan LRA sedang giat dijalankan. 

“Sehubungan itu, bekalan air di kawasan-kawasan terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 3:00 petang, 1 Mei 2022. 

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Menurutnya, bantuan alternatif melalui lori tangki masih lagi digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. 

“Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.    

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya. 

Modus operandi LRA Sungai Semenyih terpaksa digantung sementara berikutan insiden pencemaran yang telah dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, hari ini.  

Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. 

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.  – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here