ISU air, sampah dan jalan pasti menjadi topik hangat perbualan warga Kelantan setiap kali tibanya Aidilfitri.
Warga Kelantan terpaksa menempuh perjalanan berjam-jam lamanya di atas jalan raya berikutan masih lagi tiada lebuh raya dibina seperti Lebuhraya Utara Selatan yang dinikmati penduduk pantai barat.
Sudahlah keletihan mengharungi perjalanan pulang ke kampung yang panjang, warga Kelantan terpaksa pula menghadapi masalah bekalan air bersih yang seperti tiada kesudahannya.
Masalah-masalah ini telah lama berlarutan sejak PAS memerintah negeri itu 32 tahun lamanya.
Melontarkan pandangan terhadap isu-isu yang berkait rapat dengan Kelantan, Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, segala masalah yang melanda Kelantan ini boleh diselesaikan apabila para pemimpin yang memerintah negeri itu ikhlas dan serius menangani permasalahan berkenaan.
“Setiap kali raya, tiga perkara inilah yang menjadi topik perbincangan utama air, sampah dan jalan.
“Teruk sangatkah tiga masalah di atas? Jawapannya amat teruk. Huraiannya panjang, tetapi biarlah saya noktahkan setakat itu dahulu.
“Kedua, pemimpin kerajaan tidak ada keazaman politik untuk menyelesaikan masalah rakyat. Mereka hanya suka berceramah, berpolitik dan ada ketikanya membodohkan rakyat dengan projek mempolitikkan Islamnya, bukan mengIslamkan politik,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Dr Mohammad Agus memberikan dua punca utama tiga perkara itu terus membelenggu rakyat Kelantan meskipun ketika ini PAS adalah sebahagian kerajaan yang memerintah Kerajaan Persekutuan.
“Mengapa tidak boleh selesai sedangkan PAS sudah menjadi sebahagian dari kerajaan pusat? Dua faktornya. Pertama, kepimpinan kerajaan negeri lemah dan tidak ada idea.
“Tiga masalah sahajakah di Kelantan ini? Bukan, banyak lagi. Paling besar ialah pembalakan, pengurusan hutan, penyalahgunaan kuasa, dan kelemahan governans,” katanya.
Justeru, Dr Agus menegaskan, rakyat Kelantan perlu berubah dan lebih terbuka untuk tidak lagi menjadi mangsa retorik politik kerajaan PAS yang memerintah negeri itu.
Menurutnya, rakyat Kelantan mesti menyokong usaha pelbagai pihak yang ingin menjadikan negeri itu lebih baik di bawah tampuk pemerintahan kerajaan negeri yang lebih baik.
“Umno, Ku Li, Amanah, Save Kelantan, dan PKR telah banyak bersyarah tentang hal ini. Tetapi masih ramai rakyat Kelantan yang setia pada kerajaan PAS.
“Tiga sebab. Pertama, tertarik dengan retorik agama PAS. Kedua, pemimpin PAS kawasan pandai menjaga penyokongnya. Ketiga, pasukan pembangkang tidak bersatu.
“Selepas 32 tahun memerintah Kelantan, sampai masanya kerajaan PAS ditukar. Harap Umno dan parti pembangkang lainnya boleh bersatu untuk menjayakan misi ini. Sudah sampai masanya rakyat Kelantan mendapat kerajaan yang lebih baik,” katanya. -Malaysiapost

