JDT lakar sejarah, mara ke pusingan kedua ACL

0
2

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah bolasepak tanahair apabila menjadi kelab pertama dari Malaysia layak melangkah ke pusingan kedua dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL). 

Kejayaan menumpas wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hari ini, meletakkan skuad yang bergelar Harimau Selatan itu sebaris dengan 16 kelab terbaik Asia yang lain.

Dalam perlawanan terakhir Kumpulan I, JDT yang memerlukan kemenangan bagi melayakkan ke pusingan kedua, pantas mendahului menerusi sepakan percuma cantik Leandro Valazquez pada minit ke-5.

Bagaimanapun kegembiraan tersebut tidak berpanjangan apabila Ulsan Hyundai mengikat 1-1 seminit kemudian melalui  Jun Amano hasil serangan balas pasukan tersebut.

Aksi seimbang ditunjukkan oleh kedua-kedua pasukan menyaksikan keputusan tersebut kekal sehingga separuh masa pertama.

Ulsan Hyundai yang merupakan juara ACL 2020 berusaha menambah jaringan pada separuh masa kedua namun beberapa percubaan berbahaya dipatahkan pertahanan JDT dan juga penjaga golnya, Farizal Marlias.

Namun sikap tidak mengenal erti berputus asa JDT nyata berbaloi apabila gol kemenangan yang dicari terhasil pada masa kecederaan sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil. 

Impian anak buah Benjamin Mora menjadi realiti apabila pertahanan Ulsan Hyundai, Park Yeon Woo tertampan bola ke gawang sendiri selepas berusaha mengeluarkan hantaran Arif Aiman pada minit ke-93 perlawanan. -Malaysiapost

Foto kredit Johor Southern Tiger

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here