Wanita dakwa isteri Samy Vellu mohon jadi pencelah

0
2
x-default

WANITA yang mendakwa isteri kepada Tun S. Samy Vellu, Rosaline Edward Paul sekali lagi memohon menjadi pencelah dalam kes saman difailkan anak lelaki bekas Presiden MIC itu bagi perisytiharan sama ada bapanya mampu menguruskan hal ehwal sendiri.

Memetik laporan Berita Harian, Datuk Seri S. Vell Paari memfailkan saman itu dengan mendakwa kesihatan mental bapanya terjejas sejak tahun 2017.

Rosaline memohon menjadi pencelah dalam kes saman itu pada Disember tahun lalu, dengan alasan bukti menunjukkan keadaan mental Samy Vellu dalam keadaan baik, bagaimanapun ia ditolak Mahkamah Tinggi pada 11 September lalu.

Peguam RSN Rayer ketika dikemui pemberita hari ini berkata, anak guamnya memfailkan permohonan baharu untuk menjadi pencelah pada 22 September lalu dan Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Oktober ini bagi pendengaran.

Peguam itu berkata demikian selepas pengurusan kes saman berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar, Idamasliza Maarof.
Dalam prosiding itu, Vell Pari diwakili peguam Tina Francis.

Pada 11 September lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Vell Pari supaya bapanya menjalani tahap kesihatan mental selaras dengan Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001.

Dalam tuntutan samannya, Vell Pari memohon perintah bahawa suatu siasatan diadakan pada satu tarikh, masa dan tempat ditetapkan mengikut Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 ke atas bapanya bagi mengetahui jangka masa bapanya mengalami kecelaruan mental.

Beliau juga memohon perintah untuk mengetahui sama ada bapanya berupaya memberi arahan kepada peguam supaya bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu), selain menentukan jenis harta yang dimiliki oleh bapanya.

Bekas Setiausaha Agung MIC itu turut memohon supaya Perunding Neuropsikiatri dan Ketua Neurobehavior Perkhidmatan Perubatan dari Penang Adventist Hospital, atau pakar kesihatan mental lain diberi akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan mengenai keupayaan mental defendan.

Katanya, jika defendan didapati mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya menguruskan diri serta hal ehwalnya disebabkanmasalah itu, beliau memohon supaya beberapa individu termasuk dirinya (plaintif) dan peguam Datuk C Vijaya Kumar dilantik oleh mahkamah sebagai ahli jawatankuasa untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal estet defendan.

Plaintif berkata, sejak 2017 beliau sudah membantu bapanya untuk menguruskan hal ehwal dan estetnya selain menggunakan dananya sendiri bagi tujuan itu berikutan bapanya tidak dapat mengakses dana dalam akaun perbankan atas faktor kesihatan. – Malaysiapost