DALAM keghairahan hendak menyambut Hari Raya, janganlah dicemari dengan perkara maksiat dan mungkar.
Ingatan itu disampaikan khatib Masjid Negara menerusi khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini, yang mengingatkan umat Islam untuk tidak menormalisasikan perbuatan yang haram.
“Baru-baru ini, tular video klip lagu raya yang memaparkan beberapa lelaki yang bertindak menyerupai wanita.
“Terus-terang dikatakan bahawa tindakan ini bercanggah dengan nilai Islam dan hakikat Aidilfitri itu sendiri. Jangan normalisasikan perbuatan yang haram.
“Haram tetap haram! Paling ditakutkan ialah mengundang laknat dari Rasulullah SAW. Cukup, cukuplah membuat publisiti murahan. Itu bukan akhlak Islam, itu bukan ajaran Islam,” menurut khutbah berkenaan.
Justeru, khatib dengan hati yang tulus ikhlas mengajak untuk semua bertaubat atas dosa dan kesilapan yang telah dilakukan.
“Usah dicemari keberkatan Ramadan dan kesucian Aidilfitri dengan perkara maksiat yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.
“Sama-sama kita menegur dan mengambil iktibar mudah-mudahan kita semua dipelihara Allah SWT,” menurut khutbah itu lagi. – Malaysiapost

