BNM umum 5 konsortium peroleh lesen Bank digital

0
1

LIMA konsortium diumumkan berjaya memperoleh lesen bank digital yang diluluskan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tiga daripada konsortium tersebut ialah Konsortium Boost Holdings Sdn Bhd.dan RHB Bank Berhad; konsortium diterajui GXS Bank Pte LTd dan Kuok Brothers Sdn Bhd serta Konsortium diterajui Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd yang akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK).

Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan dua lagi konsortium iaitu Konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc.; dan Konsortium diterajui KAF Investment Bank Berhad dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).

Menurut BNM, tiga daripada liga konsortium lesen bank digital itu dimiliki secara majoriti oleh warga Malaysia.

Tga konsortium itu adalah Boost Holdings dan RHB Bank; Sea Limited dan YTL Digital Capital serta KAF Investment.

Menurutnya, semua 29 permohonan bagi lesen bank digital yang diterima telah dinilai secara menyeluruh mengikut Seksyen 10 (1) APK dan APKI yang mengkehendaki BNM mengambil kira semua faktor dalam Jadual 5 akta-akta tersebut dan keperluan dasar lain yang berkaitan.

“Kriteria penilaian merangkumi kewibawaan dan integriti pemohon, bentuk dan kecukupan sumber kewangan, kekukuhan dan kebolehlaksanaan pelan perniagaan serta teknologi dan keupayaan untuk menangani jurang rangkuman kewangan secara berkesan.

“Permohonan dinilai mengikut merit pemohon serta perbandingan yang dibuat dengan permohonan lain berdasarkan penilaian yang konsisten bagi setiap kriteria penilaian.

“Semakan mendatar dilaksanakan berdasarkan kriteria penilaian yang digunakan terhadap semua pemohon bagi menentukan kekukuhan relatif setiap permohonan dan mengenal pasti pemohon yang berjaya,” katanya hari ini.

Sepanjang proses penilaian, BNM melaksanakan prosedur tadbir urus dan pertimbangan rapi bagi memastikan penilaian mantap, objektif dan konsisten bagi semua 29 permohonan yang diterima.

Menurut BNM, penilaian dilaksanakan melalui empat tahap yang disokong satu pasukan teknikal bersilang fungsi, satu pasukan yang menyemak permohonan dan pemerhati bebas dalaman daripada jabatan risiko serta jabatan undang-undang BNM.

“Syor muktamad kepada Menteri Kewangan telah dibincang dan disahkan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pengurusan BNM,” kata BNM lagi.

Sementara itu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bank digital dijangka dapat meningkatkan lagi rangkuman kewangan.

“Melalui penerapan teknologi digital secara lebih meluas untuk transaksi harian, kami dapat memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi dengan mengatasi halangan geografi, mengurangkan kos transaksi dan menggalak pengurusan kewangan yang lebih baik.

“Bank digital boleh membantu individu dan perniagaan mendapatkan akses lebih baik kepada penyelesaian lebih khusus berteraskan analisis data.

“Apabila perniagaan dilakukan secara dalam talian, perbankan digital turut menyediakan cara membuat transaksi yang lebih selamat dan mudah,” tambah beliau.

Dengan pengumuman ini, pemohon yang berjaya akan melalui tempoh persediaan dari segi operasi yang akan disahkan oleh BNM melalui audit sebelum pemohon boleh memulakan operasi yang mungkin mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here