JIM mansuhkan sistem temujanji online

0
2

PENAMBAHBAIKAN kaunter pengeluaran pasport Malaysia antarabangsa di seluruh negara dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan memansuhkan Sistem Temujanji Online (STO) bermula 9 Mei ini.

Selain memansuhkan STO, waktu pengoperasian pejabat pengeluar pasport dan kaunter juga dilanjutkan bagi mengatasi kesulitan berhubung permohonan dan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata STO bagi semua pejabat pengeluar pasport di luar Lembah Klang akan dimansuhkan mulai 9 Mei ini.

Menurutnya, bagi Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka pula akan dimansuhkan mulai 16 Mei ini.

“JIM menyedari bahawa terdapat kesulitan dalam kalangan rakyat Malaysia bagi memohon dan memperbaharui PMA yang berpunca daripada peningkatan mendadak bagi permintaan PMA berikutan pembukaan sempadan negara mulai 1 April 2022.

“Secara purata, permohonan harian bagi seluruh negara telah mencecah sebanyak 8,000 PMA. Peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding sebelum pembukaan sempadan bertepatan seperti dijangkakan JIM,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mulai 1 hingga 26 April lalu, sebanyak 151,173 PMA telah dikeluarkan di seluruh negara dan peningkatan itu telah menyebabkan berlaku kesesakan di dalam STO JIM di beberapa pejabat pengeluar pasport di seluruh negara.

“Pemohon yang telah menerima tarikh temujanji melalui STO mulai 16 Mei 2022 tidak perlu lagi mematuhi tarikh yang diberikan.

“Semua pejabat pengeluar pasport di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka akan beroperasi pada hari Sabtu mulai jam 8 pagi hingga 1 petang bermula pada 14 Mei ini.

“Waktu pengoperasian kaunter Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru akan dipanjangkan sehingga jam 10 malam bermula pada 16 Mei ini,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, JIM juga menyediakan perkhidmatan permohonan PMA tanpa perlu melalui STO seperti di Putrajaya di bawah kategori baharu, warga emas, OKU, pelajar, kanak-kanak dan pemohon haji boleh terus hadir ke kaunter.

“Walau bagaimanapun bagi permohonan pembaharuan PMA, Pejabat Pasport Putrajaya hanya akan memproses permohonan yang dibuat di atas talian dan hanya pemohon yang telah menerima notifikasi melalui e-mel sahaja akan diberi perkhidmatan.

“JIM ingin menasihatkan kepada semua pelanggan supaya tidak mengambil sikap menunggu hingga ke saat akhir dan perlu merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan kesesakan.

“JIM juga sentiasa berusaha untuk menambahbaik semua penyampaian perkhidmatan yang disediakan dan memastikan perkhidmatan yang terbaik untuk orang ramai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here