Negara Komanwel guna pendekatan hampir sama dalam sektor pendidikan tangani Covid-19 – Radzi Jidin

0
2

SECARA keseluruhan, pendekatan yang dilaksanakan oleh negara-negara Komanwel lain dalam mengurus sektor pendidikan ketika pandemik Covid-19 adalah hampir sama.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata dapatan itu berdasarkan perkongsian dalam Persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel ke-21 yang telah diadakan pada 27 dan 28 April 2022 di Nairobi, Kenya.

Beliau berkata, persidangan itu disertai oleh delegasi daripada 54 negara Komanwel.

“Saya turut menyertai persidangan tersebut secara dalam talian dan berkongsi tentang mitigasi serta strategi pemulihan sektor pendidikan di Malaysia daripada pandemik Covid-19.

“Antaranya, pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR), TV Pendidikan, penjajaran kandungan kurikulum dan latihan guru.

“Secara keseluruhan, pendekatan yang dilaksanakan oleh negara-negara lain dalam mengurus sektor pendidikan mereka ketika pandemik Covid-19 adalah hampir sama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, apa yang menjadi tumpuan adalah untuk memastikan anak-anak yang bersekolah mendapat akses kepada pendidikan walaupun dalam tempoh yang sukar.

“Banyak yang telah dipelajari, khususnya dalam aspek pendigitalan pendidikan dan latihan kepada pendidik.

“Dengan pelbagai cabaran yang diharungi, kita akan dapat menyediakan sistem pendidikan yang lebih berdaya tahan dan mampan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga komited untuk melaksanakan yang terbaik dalam sistem pendidikan negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here