Buli membawa kepada budaya samseng – Tun M

0
1

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa sedih dengan kes buli yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di kawasan Parlimennya, Langkawi baru-baru ini.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menegaskan bahawa buli membawa kepada budaya samseng.

“Saya sedih membaca berita kes buli di sebuah sekolah di Langkawi. Buli membawa kepada budaya samseng.

“Kini ianya menjadi kes polis,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

Beliau berharap semua pelajar yang terlibat dalam kes berkenaan sedar dan ambil peringatan yang buli bukanlah sesuatu yang harus kita banggakan.

Media sebelum ini melaporkan seramai 13 pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Langkawi ditahan bagi membantu siasatan kes buli secara kekerasan susulan rakaman video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata semua yang ditahan itu terlibat dalam kejadian memukul dan memijak seorang pelajar lain di sekolah sama.

Menurutnya, tangkapan dibuat antara jam 12.30 tengah hari hingga 3 petang semalam di beberapa lokasi termasuk sekolah serta rumah pelajar dengan lima yang ditahan adalah rakan sekelas mangsa manakala lapan lagi daripada kelas berlainan.

Terdahulu, polis mengesahkan perselisihan faham punca seorang pelajar dipukul serta dipijak beramai-ramai dalam kejadian di sebuah sekolah menengah semalam.

Berdasarkan rakaman video yang tular, mangsa dipijak, ditumbuk serta ditendang kira-kira 10 pelajar lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here