Teruskanlah patuhi SOP – Acryl Sani

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi apa jua kemungkinan, pada bila-bila masa sekalipun, termasuklah di sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata sehubungan itu, pelbagai elemen yang ada telah diatur gerak untuk bertugas di barisan hadapan dan di perbatasan, demi memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

“Segala puji bagi Allah SWT Tuhan Pentadbir semesta alam, atas kebesaran dan izin-Nya jua, kita dapat meraikan Hari Lebaran, tanda kemenangan menyempurnakan Rukun Islam yang ketiga.

“Semoga segala amal ibadah dan kebajikan yang kita kerjakan di bulan Ramadan Al-Mubarak, bulan yang penuh maghfirah ini akan diterima serta mencapai darjat ketakwaan tertinggi di sisi-Nya jua, Insya-Allah.

“Sesungguhnya, sambutan Aidilfitri kali ini amat bermakna kerana dapat kembali meraikannya bersama keluarga di kampung halaman, selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian ekoran sekatan perjalanan akibat Covid-9,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena Hari Raya Aidilfitri 2022.

Menurutnya, meskipun pelbagai kelonggaran telah diberikan oleh Kerajaan ketika ini, orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Ini agar kita terhindar daripada ancaman Covid-19, sekali gus membolehkan kita menikmati lebaran bersama insan tersayang,” pesannya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan rasa bangga atas pengorbanan yang dicurahkan oleh warga PDRM yang bertugas di musim perayaan ini dan berharap segala khidmat bakti yang dizahirkan mendapat ganjaran tertinggi daripada Allah SWT.

“Marilah kita bersama-sama meraikan sambutan Aidilfitri tahun ini dalam suasana keluarga besar Malaysia dengan mematuhi segala SOP yang ditetapkan.

“PDRM komited untuk memastikan masyarakat dapat merayakan lebaran dalam suasana kekeluargaan demi kesejahteraan dan selamat sepanjang perjalanan serta dijauhi bencana.

“Saya dan isteri serta seisi keluarga, menyusun sepuluh jari memohon ampun serta kemaafan atas sebarang kekhilafan, kepada seluruh warga PDRM dan rakyat Malaysia, amnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here