76 Ahli Parlimen tandatangan petisyen sokong Maria Chin

0
3

SERAMAI 76 Ahli Parlimen merentasi pelbagai parti menandatangani petisyen bagi menyokong tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Ia susulan kenyataan Maria menyuarakan hak bagi wanita Islam yang masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah negara.

Ahli Parlimen Pandan dari PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendahului senarai tandatangan petisyen itu; selain veteran DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta pemimpin Warisan, Datuk Darell Leiking.

Menurut kenyataan petisyen itu, meskipun menghormati keputusan mahkamah syariah, namun mana-mana sistem perundangan, sivil atau syariah harus terbuka kepada kritikan yang membangkitkan apa yang dilihat sebagai masalah institusi.  

“Penghakiman terhadap kes juga merupakan perkara berkepentingan awam dan boleh diulas sesiapa sahaja mengikut hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan.

“Lebih-lebih lagi seorang seperti Maria yang mempunyai amanah untuk menjalankan tugas awam sebagai Ahli Parlimen.

“Komennya tidak mencarut atau berniat jahat. Ia jelas dilakukan dengan niat baik dan pandangan bahawa sistem perundangan syariah dan badan-badan lain akan mencari penyelesaian.

“Hakim-hakim sama sekali tidak terlepas kritikan awam dan akauntabiliti kepada masyarakat yang mereka berkhidmat, agar dapat melahirkan keyakinan terhadap badan kehakiman,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, mereka amat prihatin dengan nasib Maria apabila Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mohamed Fouzi Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari, terhadapnya pada 25 April lalu. 

Justeru, kata mereka, hukuman sebegitu terhadap seorang pemimpin yang menyuarakan hak asasi wanita, agak mengejutkan.

Difahamkan hukuman terhadap Maria bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Terdahulu, Maria dilapor dijatuhkan hukuman penjara kerana didapati menghina mahkamah selepas mengeluarkan kenyataan pada 5 September 2019 menyatakan wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem perundangan syariah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here