DATUK Seri Najib Razak mengingatkan Tan Sri Muhyddin Yassin bahawa tidak mudah bekerjasama dengan pelbagai parti yang berlainan idelogi.
Menurut Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu, ia berdasarkan pengalaman Pakatan Harapan (PH) ketika menerajui kerajaan selama 22 bulan yang akhirnya tumbang berikutan pakatan tersebut rapuh.
Najib mengulas laporan yang menyebut Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu akan membuat keputusan mengenai ‘khemah besar’ pembangkang selepas DAP dan Amanah menolak kerjasama dengan parti itu.
“Itu pilihan dia tapi kita harus sedar bahawa tak semudahnya dia boleh kerjasama dengan semua pihak, ini berdasarkan pengalaman PH 1.0 dulu, jangan jadi PH 2.0 iaitu pakatan yang rapuh.
“Pakatan yang tak selari dari segi ideologi dan dasar-dasar utama negara tak mungkin kekal, kalau pun berlaku tapi rakyat faham masa depan mereka tak terjamin kalau pakatan tak jujur, tetapi mengambil kesempatan semata-mata nak meraih kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis berbuka puasa anjuran Umno Bahagian Petaling Jaya hari ini.
Menurut Najib, asas untuk mewujudkan kerajaan yang kukuh dan meyakinkan tidak akan menjadi kenyataan jika pakatan atau kerjasama dibentuk tidak berasaskan ideologi yang sama.
“Saya percaya Umno dan BN walaupun bertanding sendiri, insya-Allah ada peluang untuk menang berdasarkan kemenangan di Melaka dan Johor walaupun tentangan lebih hebat (PRU akan datang).
“Umno dan BN akan terus istiqamah untuk menjamin kemenangan dalam PRU akan datang,” katanya lagi.
Ahad lalu, Muhyiddin memberi bayangan parti itu bersedia menyertai agenda ‘khemah besar’ dibawa blok pembangkang, apabila menyatakan kesediaan berunding dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU15.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerjasama antara parti penting bagi memastikan saingan satu lawan satu dengan BN pada PRU15 sekali gus mengelak perpecahan undi. – Malaysiapost

