POLIS akan memanggil Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi membantu siasatan inkuiri melibatkan kematian bayi lelaki berusia 10 bulan, Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim atau Baby Adam pada 2020.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis telah membuka kertas inkuiri untuk menentukan sama ada wujud elemen jenayah dalam kematian bayi tersebut.
“Sepatutnya Siti Bainun telah dirakam keterangan beberapa hari lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana dia sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah,” katanya.
Ashari berkata, pihaknya juga sedang mengesan individu dikenali Cikgu Fadli bagi membantu siasatan berkaitan kes bayi itu.
“Individu berkenaan telah mendakwa kononnya tiada proses bedah siasat dilakukan ke atas mayat bayi tersebut.
“Seharusnya individu berkenaan merujuk kepada polis terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, dakwaan dikeluarkannya mencetuskan kebimbangan awam dan membawa kepada tanggapan kononnya polis tidak melakukan siasatan sebaiknya dalam kematian mangsa,” katanya.
Siasatan polis sebelum ini mendapati kematian Muhammad Adam Rizqi pada 2020, tiada sebarang unsur jenayah.
Selasa lalu, media melaporkan penelitian polis terhadap laporan bedah siasat ke atas Adam yang dikeluarkan pihak Hospital Kuala Lumpur yang menunjukkan sebab sebenar kematiannya disebabkan pneumonia (radang paru-paru). – Malaysiapost

