Buli di Langkawi: 13 pelajar sudah ditahan

0
2

SERAMAI 13 pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Langkawi ditahan bagi membantu siasatan kes buli secara kekerasan susulan rakaman video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata semua yang ditahan itu terlibat dalam kejadian memukul dan memijak seorang pelajar lain di sekolah sama.

Memetik laporan Malaysia Gazette, Shariman berkata tangkapan dibuat antara jam 12.30 tengah hari hingga 3 petang tadi di beberapa lokasi termasuk sekolah serta rumah pelajar terlibat.

“Setakat ini, kita dapati hanya 13 pelajar terlibat dalam insiden tersebut. Lima yang ditahan merupakan rakan sekelas mangsa manakala lapan lagi daripada kelas berlainan.

“Polis masih menjalankan siasatan termasuk merakamkan keterangan 13 pelajar tersebut,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan perselisihan faham punca seorang pelajar dipukul serta dipijak beramai-ramai dalam kejadian di sebuah sekolah menengah semalam.

Berdasarkan rakaman video yang tular, mangsa dipijak, ditumbuk serta ditendang kira-kira 10 pelajar lain.

Mangsa membuat laporan mengenai kejadian itu hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here