JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang tidak menolak kemungkinan kebakaran dua rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan, awal pagi tadi, berpunca daripada beberapa bahan termasuk mercun dan bunga api.
Pengarahnya, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata sehingga kini pihaknya belum dapat mengesahkan punca letupan itu kerana terdapat beberapa bahan yang boleh menyebabkan berlakunya letupan.
Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat dari pelbagai aspek punca letupan kebakaran itu .
“Jika dilihat pada dasarnya kejadian ini, bahan yang berlaku letupan kemungkinan daripada dapur masak gas atau bahan lain yang masih dalam siasatan.
“Siasatan terperinci masih dijalankan untuk mendapatkan pengesahan yang menyebabkan berlakunya letupan yang dahsyat ini.
“Berdasarkan tinjauan, saya lihat ada silinder gas dan bunga api. Kalau betul letupan itu berpunca daripada bunga api atau mercun, kita perlu tahu berapa banyak jumlah mercun sehingga menyebabkan kejadian letupan teruk dan memusnahkan rumah,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun maut manakala lima cedera dan tiga selamat.
Selain itu, kebakaran turut memusnahkan tiga kenderaan dengan satu daripadanya hangus sepenuhnya. – Malaysiapost

