MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) menghantar seramai 1,500 pelajar meneruskan program belajar di luar negara tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata program penghantaran pelajar itu membabitkan beberapa bidang tertentu.
“MARA meneruskan usaha untuk memberi tajaan dan biasiswa serta pinjaman kepada anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk belajar dalam bidang-bidang tertentu di luar negara.
“Program tajaan, biasiswa dan pinjaman MARA ini sudah berusia 50 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ceria Ke Sekolah dan Majlis Perasmian Projek Baiti Jannati TNB di Kolej MARA di Kuala Nerang, petang semalam.
Mahdzir berkata, MARA tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan penghantaran pelajar ke luar negara ketika pandemik Covid-19 memuncak dua tahun lalu kerana kelas pengajian dilaksanakan secara atas talian.
“Sekarang tidak ada masalah, dahulu pun tidak ada masalah sebab dia belajar melalui online, cuma kos kita rendah kerana dia tidak pergi lagi ke universiti itu tetapi dia belajar secara online,” katanya.
Ditanya mengenai pembayaran balik wang tajaan kepada pelajar, Mahdzir berkata, MARA tidak mempunyai masalah berkaitan pembayaran balik.
MARA juga tambahnya, tidak menetapkan pelajar tajaannya pulang bekerja dengan agensi tersebut.
Sebaliknya, beliau berkata, pelajar tajaannya yang menamatkan pengajian di luar negara bebas memilih kerjaya di mana-mana syarikat atau agensi.
Ketika ini, sejumlah 3,391 pelajar tajaan MARA sedang melanjutkan pengajian di 24 negara di seluruh dunia.
Daripada jumlah itu, 1,422 pelajar berada di United Kingdom.
Sementara itu pada majlis berkenaan, Mahdzir menyampaikan bantuan Program Ceria Ke Sekolah TNB kepada 257 pelajar Tingkatan Enam daripada tiga sekolah di daerah Padang Terap.
Manakala, duakeluarga miskin dari Kampung Kuala Tekai, Pedu, menerima kunci rumah kediaman di bawah Projek Baiti Jannati TNB. – Malaysiapost

