‘Saya bagi Sanusi 48 jam minta maaf, tarik balik fitnah’ – Isham

0
2
isham jalil

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil memberi tempoh 48 jam kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya meminta maaf dan menarik balik tuduhan yang dibuat Menteri Besar Kedah itu ke atasnya.

Isham berkata demikian susulan kenyataan Muhamad Sanusi yang didakwa menuduhnya sebagai individu yang menulis minit mesyuarat kononnya komplot menjatuhkan dan menyumbat pemimpin-pemimpin Umno ke dalam penjara.

Isham yang menyifatkan perkara itu sebagai fitnah berkata, sekiranya Muhammad Sanusi mengetahui peruntukkan undang-undang beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Sebab perkara-perkara di atas adalah tuduhan terbuka yang membawa unsur-unsur fitnah yang berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi seseorang.

“Mengikut undang-undang, penggunaan perkataan ‘mungkin’ tidak melepaskan dia daripada kesalahan memfitnah: insinuasi, innuendo dan kiasan juga boleh membawa elemen fitnah dalam undang-undang tort mahupun jenayah.

“Oleh itu dia boleh didakwa dengan kesalahan memfitnah jenayah atau ‘criminal defamation’ di bawah Seksyen 499 Akta 574 Kanun Keseksaan Malaysia dan ia membawa hukuman 2 tahun penjara di bawah seksyen 500 akta yang sama,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Isham berkata, beliau telah menyarankan Muhammad Sanusi dan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terangganu bersumpah laknat menyatakan tidak terlibat dengan komplot mesyuarat itu.

“Dan saya pun akan bersumpah laknat bersama mereka kerana saya berani kata bahawa tuduhan Sanusi kepada saya itu adalah fitnah melulu terhadap saya kerana saya tidak ada kaitan pun dalam penyediaan minit mesyuarat tersebut.

“Namun saya rasa, Sanusi juga seperti Samsuri akan takut untuk bersumpah laknat. Sebab jika mereka tipu mereka tahu mereka akan dilaknat di dunia dan akhirat,” katanya.

Dalam pada itu, Isham berkata, beliau mendapat cadangan menerusi Facebook yang memintanya menyaman Muhammad Sanusi dan membuat laporan polis.

Katanya, mengetahui bahawa Muhammad Sanusi takut untuk membuat sumpah laknat maka beliau akan meneruskan membuat laporan polis menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kesalahan fitnah tersebut.

“Tidak ada sesiapa yang boleh terlepas dari undang-undang jika mereka memfitnah, tidak kira sama ada orang biasa mahupun menteri besar. Undang-undang tidak mengira status atau jawatan.

“Saya juga beri tempoh 48 jam kepada Sanusi untuk meminta maaf kepada saya dan menarik balik apa yang dia kata, jika tidak saya akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya termasuklah tindakan saman seperti yang disarankan oleh netizen,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here