SISTEM perkhidmatan kesihatan negara kini berada pada tahap yang semakin pulih dengan kadar kemasukan kes Covid-19 ke hospital dan penggunaan wad rawatan rapi semakin berkurangan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata kejayaan itu juga disumbang oleh kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang telah disarankan oleh kerajaan.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meneliti dan melakukan semakan semula ke atas langkah-langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 yang boleh dilaksanakan semasa dalam Fasa Peralihan ke Endemik.
Beliau berkata antaranya adalah, protokol uji dan lepas bagi kes positif Covid-19 yang sebelum ini perlu menjalani pengasingan selama tujuh hari dari tarikh sampel positif diambil.
“Individu boleh dilepaskan daripada pengasingan bermula pada hari keempat sekiranya telah disahkan negatif menerusi ujian RTK Antigen yang diselia oleh pengamal perubatan.
“Walaubagaimanapun, sekiranya masih positif, individu tersebut perlu melengkapkan tempoh pengasingan tujuh hari,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, bagi keperluan vaksinasi lengkap untuk masuk ke premis pula kini dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi mereka.
“Individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis pula adalah membabitkan mereka yang positif Covid19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap.
“Individu dalam tempoh arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO), termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia,” katanya.
Khairy berkata, keperluan pengujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas ke Malaysia dan pengujian Covid-19 semasa ketibaan juga digugurkan.
Menurutnya, selain itu keperluan insurans Covid-19 bagi pengembara bukan warganegara Malaysia turut tidak lagi menjadi pra-syarat kemasukan ke Malaysia.
“Semua senarai aktiviti yang tidak dibenarkan di dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) terbitan 1 April lalu digugurkan dan agensi berkaitan sedang menyediakan protokol baru bagi pengoperasiannya.
“Prosedur atau protokol baharu ini akan mula berkuat kuasa pada Ahad, 15 Mei 2022,” katanya. – Malaysiapost

