Malaysia – Korea tingkat kerjasama pertahanan

0
1

MALAYSIA dan Republik Korea hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU0 mengenai kerjasama dalam bidang pertahanan.

Majlis secara maya itu disaksikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya, Suh Wook.

Menurut Hishammuddin, ia amat menggembirakan kerana usaha ke arah MoU itu telah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu dan akhirnya dapat ditandatangani hari ini.

Katanya, MoU itu bukan sahaja akan menjadi instrumen perundangan yang akan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan kedua-dua negara.

“Malah, ia akan menjadi dokumen rujukan utama dalam interaksi, program dan aktiviti bersama antara Angkatan Tentera Malaysia dengan Angkatan Tentera Republik Korea.

“Ia juga perkembangan cukup signifikan memandangkan sebelum ini hubungan pertahanan Malaysia dan Korea tiada persefahaman secara rasmi sekali gus menjadi kekangan untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan.

“MoU hari ini akan menjadi penanda untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala dan bagi angkatan tentera kedua-dua negara bekerjasama secara lebih erat,” katanya hari ini.

Hishammuddin berkata bagi memastikan perancangan di bawah MoU itu dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan lancar, sebuah Jawatankuasa Kerja antara Kementerian Pertahanan kedua-dua negara akan ditubuhkan bagi menerajui pelaksanaan MoU tersebut.

Katanya, inisiatif seterusnya ialah kedua-dua negara sedang berusaha ke arah MoU berkaitan industri pertahanan yang mana ia turut berkaitrapat dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang dirangka Kementerian Pertahanan.

“Sebelum ini kita bekerjasama dengan banyak negara rakan tradisional seperti Itali, Perancis dan Amerika Syarikat.

“Hari ini membuktikan Malaysia berusaha memperluaskan lagi kerjasama dengan lebih banyak negara
seperti Republik Korea, Turki dan India,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here