Tiada lagi penjarakan fizikal, imbas MySejahtera

0
2

KERAJAAN memutuskan penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak lagi diperlukan berkuatkuasa 1 Mei ini dalam fasa peralihan ke endemik.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu dibuat selepas keperluan penjarakan fizikal di dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) terbitan 1 April lalu disemak semula.

“Mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang, maka penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak diperlukan.

“Namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan mengenai semakan semula keperluan imbasan kod QR MySejahtera bagi memasuki mana-mana premis.

“Imbasan kod QR MySejahtera tidak diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam. Bagaimanapun, saya ingin menyeru supaya anda semua mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.

“Individu dengan status “High Risk” pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif Covid-19 dan individu yang diberi Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO), tidak dibenarkan masuk ke premis.

“Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya,” katanya.

Beliau berkata, aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan Covid-19 dan arahan HSO.

“Ia juga penting untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pencegahan dan kawalan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here