PasLeak: Polis buka kertas inkuiri

0
3
https://www.facebook.com/photo/?fbid=344849477669149&set=pcb.344849961002434

POLIS membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti laporan diterima berkaitan dokumen PasLeak yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin PAS.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim, berkata setakat ini pihaknya belum mendapat sumber aduan daripada pengadu.

“Kita akan siasat aduan pengadu untuk mengenal pasti jika ada kesalahan jenayah atau kesalahan lain.

“Ini kerana pihak polis perlu mengklasifikasikan kes berkenaan jika ada kesalahan itu,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Azmi berkata, pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berkenaan termasuk pengadu.

BACA LAGI: PasLeaks disebar pihak yang tidak mahu lihat MN digerak semula – Tun Faisal

“Sudah tentu ada individu yang akan dipanggil untuk membantu siasatan termasuk pengadu terbabit.

“Selepas itu, terpulang kepada hasil siasatan untuk memanggil individu lain,” katanya.

Khamis lalu, peguam mewakili Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat laporan polis berkaitan risikan pemimpin PAS seperti yang tular di media sosial.

Semenatar itu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menyifatkan penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat PAS adalah cubaan meretakkan hubungan antara parti Melayu.

Sebelum ini, empat tangkap layar mengenai percaturan politik PAS yang menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah menjadi tular di media sosial.

Dokumen itu diklasifikasikan sebagai sulit itu dipercayai adalah minit mesyuarat PAS yang diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Selain itu, turut dikaitkan beberapa pemimpin kanan Bersatu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Polis KL

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here